Translate

Jumaat, 16 November 2012

Hijrah Sperma Menjadi Seorang Manusia



Sperma. Tidak pasti apa penjodoh bilangan yang sesuai baginya. Seekor sperma atau seorang sperma? Merupakan makhluk yang menginap secara berjemaah di dalam skrotum di bahagian epididimis seorang homosapien yang bergelar lelaki. Namun setelah tiba masanya, para sperma telah dipaksa keluar dari kediaman mereka. Saat itu, telah berlakunya peristiwa penghijrahan beramai-ramai jutaan sperma ke suatu tempat yang asing. Mereka telah berhijrah ke dalam tubuh seorang wanita melalui kaedah pancutan.

Di tempat atmosfera baru tersebut, kaum sperma terpaksa berlumba sesama sendiri menuju ke Tiub Fallopio. Dengan hasrat dan azam yang tinggi untuk menjadi satu-satunya sperma yang berjaya memikat hati si ovum. Pelbagai rintangan ditempuhi. Hingga ada yang sesat dan terperangkap. Malah ada yang terlanggar divider jalan dan terbunuh. Hanya satu sahaja sperma bertuah yang layak bersatu dengan ovum.

Setelah sperma dan ovum bersatu, selaput ovum tiba-tiba bertukar dan bertindak menyekat kemasukan sperma yang lain. Tanda hatinya sudah dimiliki dan tertutup rapat buat sperma-sperma lain. Sperma yang terpilih itu pun bersenyawa dengan ovum dan menjadi zigot. Setelah membesar, bertukar pula menjadi embrio, lalu berhijrah ke uterus untuk menempel di situ. Setelah itu, berlaku pelbagai lagi transformasi sehingga menjadi fetus yang hampir lengkap ciri-ciri seorang bayi.

Genap 9 bulan 10 hari, fetus mula mengganas. Menendang-nendang tempat penginapannya sebagai tanda protes mahu berhijrah lagi. Kali ini, dia mahu berhijrah ke tempat yang lebih luas dan nyaman. Akhirnya... Uwekk.. Uwekk.. Uwek.. Dia berjaya keluar dari alam rahim untuk berhijrah ke alam dunia. Fetus kini bergelar bayi. Dan akan terus membesar dan membesar lagi menjadi seorang manusia.



Hijrahnya tidak akan terhenti setakat itu saja. Di dunia yang fana ini, dia akan terus berhijrah. Berhijrah dari suatu tempat ke suatu tempat. Berhijrah dari darul kufur ke darul Islam. Berhijrah dari sifat mazmumah kepada sifat mahmudah. Berhijrah daripada seorang manusia menjadi seorang insan yang soleh dalam usaha menjayakan misi penghijrahannya yang terakhir. Iaitu hijrah menuju keredhaan Allah serta syurga yang kekal abadi. InsyaAllah...

"Dan sesiapa yang berHijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berHijrah yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berHijrah kepada Allah dan Rasulnya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala Hijrahnya di sisi Allah dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah An-Nisa : ayat 100)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan